Sejak
zaman 1970-an lagi, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami pembaharuan
dalam aspek kurikulum. Dalam hal ini, gurulah yang bertindak sebagai agen
perubahan untuk menjana transformasi pendidikan negara demi melahirkan modal
insan yang mampu berdaya saing untuk membangunkan Negara selaras dengan misi
Wawasan 2020 yang dibawa oleh mantan Perdana Menteri Keempat iaitu Tun Dr Mahathir Bin Mohamad untuk menjadikan
Malaysia sebuah Negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020.
Kurikulum
Lama Sekolah Rendah (KLSR) mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Bertitik tolak daripada pelaksanaan KLSR tersebut, sistem pendidikan negara
sering mengalami perubahan mengikut situasi semasa. Antara penambahbaikan yang
telah dilaksanakan ialah dengan memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada
tahun 1989.
Namun begitu, KBSR telah disemak semula pada
tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI). Manakala, terbaharu KBSR (semakan) telah digubal
semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras
kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pembaharuan kurikulum yang
dilakukan ini boleh dikatakan sebagai satu inovasi kurikulum yang utama atau
reformasi yang menyeluruh.
Sejajar
dengan perkembangan dunia teknologi maklumat serta perubahan dan cabaran alaf
ke-21, sistem Pendidikan Kebangsaan sentiasa diperkemas dan dibuat
penambahbaikan dari masa ke masa. Proses yang dinamik dan berterusan dilaksanakan
dalam pembangunan kurikulum ini bermatlamat untuk memperkukuhkan sistem
pendidikan kebangsaan bagi memupuk perpaduan sosial, kebudayaan dan politik,
menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih bersistematik dan selesa kepada
para pelajar, meningkatkan taraf pendidikan di seluruh negara serta
melaksanakan pendemokrasian pendidikan tanpa mengira bangsa, kaum mahu pun
agama.